Sunday, November 15, 2009

Hidungnya Mancung



Dari Abu Said al-Khudri RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,

“al-Mahdi adalah dari keturunanku, dahinya luas, hidungnya mancung. Dia akan memenuhkan bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman dan penindasan. Dia memerintah selama tujuh tahun.” (Abu Daud & al-Hakim)

Berdasarkan hadis ini, dinyatakan lagi beberapa perkara, sama ada pertama kali disebut, mahupun yang berupa pengulangan daripada hadis-hadis lain:

1.Imam Mahdi adalah dari keturunan Baginda SAW. Pengesahan yang dibuat berulang-ulang kali ini tidak syak lagi adalah janji Allah dan Rasul-Nya SAW bahawa memang Imam Mahdi itu adalah benar-benar dari keturunan Nabi SAW. Kerana terlalu banyak pengulangan terhadap perkara yang sama, maka dapatlah disimpulkan di sini bahawa perkara ini adalah sesuatu yang mesti dipenuhi, tidak boleh tidak.
2.Dahinya luas. Penyataan ini juga diulang dalam beberapa buah hadis dan ucapan sahabat dan tabiin. Orang yang berdahi luas lazim dikatakan adalah tanda orangnya kuat rohaniahnya, ahli pemikir yang kuat, tenang fikirannya dan matang dalam segala tindakan dan urusan. Dahi luas juga adalah tanda orang itu sudah berumur, bukan remaja lagi. Sebab itu, lazimnya golongan remaja mempunyai saiz dahi yang lebih kecil berbanding orang dewasa dan orang-orang tua.
3.Hidung Imam Mahdi adalah mancung. Pernyataan ini adalah tanda bahawa Imam Mahdi itu lahir dari kalangan orang atau kaum yang hidungnya ‘tidak mancung’. Jika tidak, masakan perkara ini perlu disebut oleh Nabi SAW, kerana bangsa Arab memang diketahui umum memiliki hidung yang mancung-mancung belaka. Terlalu jarang atau boleh dianggap pelik jika dikatakan ada orang Arab yang hidungnya tidak mancung atau pesek. Maksud tersiratnya, Imam Mahdi itu benar-benar lahir di negara Ajam.
4.Imam Mahdi akan menjadi pemerintah di bumi ini. Pemerintahannya setelah menjadi Khalifah adalah penuh adil dan saksama, meliputi seluruh dunia. Tanda akan naik Imam Mahdi menjadi pemerintah ialah seluruh dunia ini akan dipenuhi oleh kezaliman dan penindasan. Para pemerintahnya adalah orang-orang yang zalim-zalim, manakala yang kaya dan kuat menindas yang miskin dan lemah. Yang miskin dan bodoh juga berbuat zalim dengan melakukan jenayah seperti mencuri. Ulama memandang rendah orang awam dan orang awam pula hilang hormat kepada golongan ulama.
5.Lama pemerintahan Imam Mahdi ke atas seluruh dunia ini adalah tujuh tahun. Tujuh tahun yang dimaksudkan adalah relatif, bukan dengan erti tujuh tahun seperti yang mampu kita bayangkan pada hari ini. Untuk keterangan yang lebih jelas lagi tentang ini, lihat pada bahagian-bahagian akhir pemerintahan Imam Mahdi pada bab-bab yang akan datang. Angka tujuh sebenarnya adalah lambang berkat dan banyak, bukan ertinya tepat-tepat tujuh tahun seperti yang disabdakan.

No comments:

Post a Comment