Friday, September 11, 2009

Wajib Mentaati Imam Mahdi


A. Ibnu Masud RA meriwayatkan bahawa,

“Kami mendatangi Rasulullah SAW dan baginda keluar dengan membawa berita gembira, dan kegembiraan itu terbayang pada wajahnya. Kami bertanya kepada baginda perkara yang menggembirakan itu dan kami tidak sabar untuk mendengarnya. Tiba-tiba datanglah sekumpulan anak-anak muda Bani Hasyim yang di antaranya adalah al-Hasan dan al-Husain RA. Apabila terpandangkan mereka, tiba-tiba kedua-dua mata baginda berlinangan lalu kami pun bertanya, “Wahai Rasulullah, kami melihat sesuatu yang kami tidak sukai pada wajahmu.” Baginda menjawab, “Kami Ahlulbait, telah Allah pilih akhirat kami lebih dari dunia kami. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran selepasku kelak sehingga datanglah Panji-panji Hitam dari Timur. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya. Maka mereka pun berjuang dan memperoleh kejayaan. Sesiapa di antara kamu atau keturunan kamu yang hidup pada masa itu, datangilah Imam yang dari ahli keluargaku walau terpaksa merangkak di atas salji. Sungguh, mereka adalah pembawa Panji-panji yang mendapat hidayah. Mereka akan menyerahkannya kepada seorang lelaki dari ahli keluargaku yang namanya seperti namaku, dan nama bapanya seperti nama bapaku. Dia akan memenuhkan dunia ini dengan keadilan dan kesaksamaan.”
(Abu Daud, At-Tarmizi, Al-Hakim, Ibnu Hibban, Ibnu Majah, Abus Syeikh, Ibnu Adi, Abu Dhabi, Ibnu Asakir & Abu Nuaim)

Mereka yang dimaksudkan oleh hadis ini tidak lain dan tidak bukan adalah Ikhwan dan Asoib, yang ketua mereka adalah Syuaib bin Saleh Pemuda Bani Tamim itu. Salah satu keramat terbesar Pemuda Bani Tamim ialah membawa hidayah yang merata kepada seluruh umat Islam dan semua manusia. Melaluinya, Allah SWT memberikan hidayah-Nya kepada semua manusia, sama seperti yang diperbuat oleh Allah melalui Rasulullah SAW. Hanya bezanya Rasulullah SAW membawa hidayah sebagai suatu mukjizat, sedangkan Pemuda Bani Tamim membawa hidayah sebagai suatu keramat. Dan peranannya membawa hidayah ini sudah dinyatakan oleh baginda SAW dalam hadis di atas.

Rasulullah SAW menyebutkan bahawa golongan Ahlulbait akan menerima dua ujian iaitu pertama, bencana dibunuh dan ditekan oleh pemerintah-pemerintah mereka, dan yang kedua ialah disingkirkan dari tanah air mereka. Ujian pertama itu sudah berlaku sejak awal Islam lagi, dimulai dengan terbunuhnya Sayidina al-Husain RA di Padang Karbala dan seterusnya hinggalah berakhir zaman pemerintahan Bani Abbasiah di Baghdad. Yang kedua iaitu disingkir dari tanah air mereka telah juga berlaku iaitu sejak Bani Saud mengambil alih kekuasaan di seluruh Hijaz dan sebahagian besar Semenanjung Tanah Arab.

Pemuda Bani Tamim juga disebutkan menerima ujian yang sangat berat dan tugas yang sangat besar, mengikut tahap yang telah disebutkan oleh hadis, berjumlah tujuh tahap. Kesukaran antara setiap tahap itu adalah berbeza-beza. Tahap berikutnya adalah jauh lebih berat daripada tahap-tahap yang telah dilalui sebelumnya. Ketujuh-tujuh tahap yang disebutkan oleh hadis itu adalah;

1.Mereka meminta kebaikan. Maksudnya mereka menyeru manusia kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, iaitu Islam yang diasaskan pada tiga ilmu yang fardhu (tauhid, fekah dan tasawuf) sehingga manusia menjadi baik zahir dan batinnya. Itulah yang dimaksudkan dengan kebaikan di sini. Juga boleh dimaksudkan dengan beliau membina jemaah Islamnya sendiri sehingga menjadi sebuah jemaah yang besar dan hebat, sebuah jemaah yang mampu menzahirkan kebenaran, bukan semata-mata mampu memperkatakannya. Dari sini beliau mendirikan sebuah kerajaan dalam kerajaan, iaitu kerajaan Islam bayangan. Apabila mendapat kuasa kelak, bentuk itulah yang akan diperluaskan ke seluruh negara dan kawasan serantau, seterusnya ke seluruh dunia. Islam mereka adalah Islam praktikal, bukan Islam teori. Maksudnya ialah Islam yang hidup dalam dunia nyata, bukan sekadar Islam tempel atau Islam kulit. Islam itu adalah Islam yang menyeimbangkan antara syariat zahir dengan syariat batin, melalui rasa bertuhan yang tinggi. Juga Islam yang menyeimbangkan antara keperluan dunia dengan keutamaan akhirat. Maksudnya setiap yang mereka buat adalah untuk akhirat, tetapi dunia yang tidak sia-sia tetap dibuat, dengan niat untuk akhirat. Tamadun akhirat menjadi keutamaan bagi mereka, dan sebagai hasilnya tamadun dunia akan terbina dengan sendirinya tanpa perlu bersusah-susah memikirkan mengenainya. Itulah sebahagian kecil erti mereka meminta kebaikan seperti yang disebutkan oleh hadis Nabi SAW.

2.Tidak diberikannya. Nya di sini menunjukkan seorang atau sekumpulan orang, tidak melibatkan orang lain atau pihak lain. Dan Nya yang dimaksudkan bukanlah orang atau sekumpulan orang yang biasa, melainkan orang atau orang-orang yang mempunyai kuasa atau ilmu atau cantuman kedua-duanya sekali. Jika orang biasa, mustahil mereka dapat menghalang usaha dakwah yang memang sentiasa mampu menarik manusia kembali kepada ajaran Islam sebenar itu.
Maka orang inilah atau kumpulan inilah yang berusaha keras menentang usaha-usaha dakwah Pemuda Bani Tamim, sehingga mereka sanggup menyeksa dan memperlakukannya sedemikian kejam sedangkan mereka sendiri tiada bukti dan alasan untuk memperlakukannya demikian. Namun, itulah kehendak Allah SWT seperti yang tersurat di dalam takdir-Nya. Dan hal ini memang telah pun berlaku dan sekali gus membenarkan apa yang disabdakan oleh baginda SAW.
Mereka ini pula datang dengan berbagai-bagai rupa dan cara. Ada yang berbentuk pemerintah sebenar, yang menggunakan kaedah kuku besi untuk menindas perjuangan suci ini. Ada yang berupa orang baik lagi bersih tetapi mendalangi perbuatannya pada orang lain, iaitu berselindung di balik nama orang lain. Dialah dalang sebenar dan terbesar, kerana ada niat tersembunyi dan besar. Ada yang berupa orang alim dalam hal ehwal agama, iaitu menggunakan agama sebagai alat untuk membunuh usaha dakwah berkenaan. Ada yang berupa pihak penyampai, iaitu menggunakan media mereka sebagai alat untuk menabur fitnah dan berita bohong mengenai keburukan Pemuda Bani Tamim dan perjuangannya itu.

3.Mereka pun berjuang. Berjuang di sini bukan bermaksud berjuang dengan pedang atau senjata moden yang lain. Islam tidak akan dapat ditegakkan oleh sesiapa pun dengan menggunakan senjata pedang semata-mata. Belum pernah lagi terjadi dalam sejarah, ajaran Islam dapat ditegakkan semata-mata dengan pedang, iaitu memaksa-maksa orang lain menerima Islam. Sebenarnya ada senjata yang lebih berkuasa dan lebih tajam dari pedang iaitu dakwah yang berhikmah dan bi lisanul hal. Maksud berjuang juga adalah berjuang memperbaiki diri dan ibadat kepada Allah SWT sambil berusaha bersungguh-sungguh meninggalkan setiap yang boleh mendatangkan dosa sehingga menghijab hubungan antara mereka dengan Allah. Mereka takut dikeranakan dosa mereka itu, perjuangan mereka tidak dibantu oleh Allah lalu mereka Allah biar dikalahkan oleh musuh-musuh mereka.

4.Mereka memperoleh kejayaan. Hasil mujahadah nafsu dan muhasabah dosa mereka itu, Allah berkenan membantu mereka sehingga perjuangan mereka itu berjaya. Berjaya di sini dimaksudkan dengan berjaya mengalahkan nafsu jahat mereka sendiri sehingga nafsu mereka dapat ditundukkan kepada Allah, berjaya mencapai taraf soleh dan solehah malah ada yang menjadi wali Allah, sangat berjaya dalam setiap bidang yang diceburi, berjaya membina tamadun mereka yang tersendiri, dan berjaya mengajak masyarakat agar kembali kepada Allah dan mengamalkan ajaran agama Islam yang sebenar dalam diri masing-masing. Pemimpinnya iaitu Syuaib bin Saleh berjaya menyiapkan seluruh jentera pentadbiran awal yang bakal diserahkannya kepada Imam Mahdi kelak. Sebahagian jentera pentadbiran awalnya ini akan dikekalkan di bawah pentadbirannya sendiri dan sebahagiannya lagi akan berkhidmat untuk Imam Mahdi. Semuanya dipilih dan ditentukan oleh Allah SWT sendiri, diilhamkan kepada Imam Mahdi dan Imam Mahdi pula menyampaikannya kepada Syuaib bin Saleh. Melalui arahan itulah Syuaib bin Saleh memilih dan melantik barisan kepemimpinannya. Kedudukan mereka dalam pentadbiran adalah berdasarkan taraf takwanya kepada Allah SWT, bukan semata-mata ilmu yang tinggi atau amal yang banyak siang malam, dan jauh sekali melalui pengalaman berpolitik sebelum ini. Semakin tinggi takwa mereka kepada Allah, semakin tinggilah kedudukan yang akan Allah serah kepadanya untuk membantu menguruskan seluruh umat Islam ini. Semua masalah yang selama ini amat kronik, berjaya disembuhkan, kerana adanya pertolongan terus daripada Allah yang didatangkan melalui tangan-tangan mereka yang bertakwa ini. Mereka juga berjaya kerana pada masa inilah semua orang sudahpun mengetahui siapa sebenarnya peribadi yang disebutkan sebagai Pemuda Bani Tamim atau Syuaib bin Saleh itu. Orang ramai juga sudahpun mengetahui siapa peribadi sebenar yang bakal menjadi Imam Mahdi itu. Itulah antara maksud hadis dengan memperoleh kejayaan.

5.Diberikanlah apa yang mereka minta itu. Mereka diserahkan urusan pemerintahan dan pentadbiran umat Islam di Timur, dimulai di Malaysia, insya-Allah. Keadaan ini amat menggemparkan seluruh dunia terutama Barat kerana ternyata usaha-usaha mereka selama ini untuk menyekat kebangkitan semula Islam di dunia ini telah gagal. Islam yang dibendung-bendung dengan pelbagai cara dan sekatan itu tetap bangkit juga. Jika dahulu oleh Nabi Muhammad SAW, kini oleh Muhammad III iaitu Muhammad bin Abdullah al-Mahdi. Pada waktu ini, seluruh sistem Barat yang sedang digunakan di Timur lumpuh terus. Perdagangan, perekonomian, pendidikan, politik dan pemikiran Barat yang sedang asyik digunakan menjadi lumpuh. Jalan-jalan dagang tersekat kerana tidak dapat beroperasi dengan betul.
Selepas itu wilayah kekuasaannya meluas hingga ke Singapura, Brunei Darussalam, seluruh Indonesia, Thailand selatan, Filipina selatan, Kampuchea dan Vietnam selatan. Kawasan-kawasan ini adalah fasa pertama kebangkitan semula Islam kali kedua ini. Pada masa ini taraf Ummah Kedua masih belum siap sepenuhnya, masih lagi dalam proses permulaan atau pemulihan. Tugas Pemuda Bani Tamim hanyalah membuang seluruh sistem Barat dan membersihkan saki-baki karatnya, kemudian menyediakan tapak hati yang telah dibersihkan tadi supaya bersedia menerima suatu hidayah baru yang selama ini tertutup rapat sejak kewafatan baginda SAW kira-kira seribu empat ratus tahun dahulu. Hidayah itu tidak dimiliki oleh Pemuda Bani Tamim, atau Allah tidak memberikan kelebihan itu kepada beliau. Kelebihan yang satu ini hanya dimiliki oleh Imam Mahdi sahaja, selain Rasulullah SAW sendiri. Hidayah yang dibawa oleh Pemuda Bani Tamim adalah hidayah yang bersifat umum, iaitu membawa manusia meninggalkan sistem jahiliyah Barat kepada sistem Islam. Yang seterusnya adalah tugas Imam Mahdi pula.
Rasulullah SAW pula memiliki kedua-dua bentuk hidayah ini, dan hanya baginda SAW seorang sahaja yang benar-benar diberikan hidayah jenis ini. Kedua-dua bentuk hidayah itu adalah hidayah untuk membuang segala sistem jahiliyah sehingga hati dan fikiran mereka menjadi bersih sebersih-bersihnya, kemudian menyediakan tapak hati yang telah dibersihkan itu untuk menerima hidayah seterusnya. Hidayah yang seterusnya adalah hidayah untuk menerima Pendidikan Rasulullah SAW, yang bersifat sangat suci dan amat tinggi, serta amat halus sehingga mampu melahirkan orang-orang yang bersifat samikna wa ata’na (kami mendengar dan kami taat akan segala perintah) dan menjadikan mereka orang-orang yang bertaraf wali-wali Allah yang tinggi, sentiasa mengamalkan cara hidup ruhbanu fil lail wa fursanu binnahar (umpama rahib pada malamnya dan umpama singa pada siangnya). Kedua-dua hidayah ini, pada zaman ini hanya ada pada mereka berdua sahaja, tidak diberikan kepada orang lain. Sesiapa yang menginginkan kedua-dua hidayah itu, mahu tidak mahu hendaklah melalui mereka berdua ini sahaja, tidak didapat melalui orang lain lagi.
Sambil menghapuskan seluruh sistem Barat yang telah lama berkarat di seluruh negara, Pemuda Bani Tamim mempunyai tugas yang cukup besar dan sangat berat iaitu mengemaskan seluruh negara dengan iman yang tinggi, akhlak yang mulia, akidah yang benar-benar mantap, mempersiapkan seluruhnya untuk menerima ketibaan Imam Mahdi yang sangat ditunggu-tunggu, sangat dirindu, yang sangat disayangi dan sangat dicintai itu. Seluruh hati yang beriman sudah berbunga, dengan bunga-bunga yang kembang biak mewangi di seluruh negara. Yang kafir dan munafik, ketika itu sangat menderita, hatinya terbakar hangus oleh kemarahan dirinya sendiri yang tidak terbendung-bendung lagi sehingga membakar hangus akal dan pertimbangan warasnya. Sangatlah sakit hatinya ketika itu. Allah sahajalah yang tahu keadaan mereka ini. Wajah mereka berkerut seribu dan masam mencuka, tanda tidak suka.
Selepas itu, wilayah-wilayah Islam semakin merebak dan meluas. Kini mula memasuki seluruh Thailand, seluruh Filipina, seluruh Laos, seluruh Viertnam, seluruh Myanmar, mula masuk ke wilayah-wilayah di China dan seterusnya sampai ke Khurasan. Penyebaran Islam kali ini sudah memasuki tahap kedua, dengan sampainya Islam ke Khurasan, tempat yang dijanjikan akan munculnya Panji-panji Hitam yang sebenar dan tempat seorang lelaki menanti Pemuda Bani Tamim. Ketika ini, Panji-panji Hitam dan Pedang Zulfakar sudah pun berada di tangan Pemuda Bani Tamim. Kedua-duanya ditancapkan tinggi-tinggi ke udara, sebagai lambang tingginya kedudukan Islam dan tingginya cita-cita besar mereka.

6.Mereka tidak menerimanya. Maksud tidak menerimanya bukanlah dengan erti tidak menerima terus urusan pemerintahan yang diserahkan kepada mereka. Maksud sebenarnya ialah mereka menyatakan secara tegas dan tetap bahawa pemerintahan ini adalah hak mutlak Imam Mahdi, dan mereka hanyalah bertindak sebagai pengurus atau pemegang sementara sahaja, iaitu sementara pemilik sebenarnya muncul ke dunia ini. Apabila pemilik yang sebenar berhak ke atas pemerintahan itu, mereka akan segera menyerahkannya kepada orang itu, yang tidak lain dan tidak bukan adalah Imam Mahdi al-Alawi. Oleh itu, pemerintahan mereka adalah sebagai pemegang amanah atau pemangku sahaja, ketika pemimpinnya tiada di situ. Penjelasannya sudah dibuat di atas tadi.

7.Mereka menyerahkannya kepada seorang lelaki dari Ahlulbait. Menurut hadis-hadis, orang itu adalah Imam Mahdi sendiri, tidak lain dan tidak bukan. Tempat penyerahan itu boleh sahaja berlaku di Makkah atau jika mereka terlambat sedikit, mereka akan terus sahaja ke Baitulmaqdis. Di sanalah mereka akan menyerahkan Panji-panji Hitam itu kepada orang yang paling berhak menerimanya. Beliau adalah waris terakhir dari kalangan Ahlulbait yang akan diserahi tugas dan tanggungjawab memimpin seluruh manusia kepada Islam. Dengan penyerahan ini, lengkaplah tugas Pemuda Bani Tamim. Tugas seterusnya adalah tertanggung kepada Imam Mahdi. Namun, Imam Mahdi tetap memberikan Pemuda Bani Tamim tugas yang sesuai dengan jasanya kepada Islam dan kedudukannya yang sangat tinggi pada sisi Allah SWT dan beliau tetap terus menabur jasa yang tidak terhingga kepada seluruh umat Islam dan dunia.
Ketika ini, tahap ketiga yang dikehendaki oleh Jadual Allah itu selesailah sudah iaitu dengan tunduknya seluruh Tanah Arab di bawah pemerintahan Pemuda Bani Tamim dan Imam Mahdi. Dan dengan ini, seluruh dunia Islam yang meliputi tiga tahap itu, dan nama baru bagi seluruh dunia Islam yang meliputi ketiga-tiga tahap ialah Malaysia Raya! Ini adalah mengambil sempena nama negara kita yang tercinta ini, disebabkan oleh faktor-faktor berikut;

a.Di situlah tempat kelahiran Pemuda Bani Tamim. Pemuda Bani Tamim yang digelar sebagai Syuaib bin Saleh itu dilahir dan dibesarkan di Malaysia, tidak di tempat lain.
b.Di situlah Pemuda Bani Tamim memulakan pendidikannya sehingga besar dan dewasa. Beliau tidak belajar di tempat-tempat lain seperti yang lazim berlaku pada ulama-ulama lain sejak dahulu hingga kini. Jika beliau pergi ke luar negara pun, adalah untuk berdakwah sambil belajar, bukan semata-mata dengan tujuan belajar.
c.Di situlah Pemuda Bani Tamim memula dan mengasaskan perjuangannya dari mula sehingga berkembang ke seluruh negara dan seterusnya berjaya pula di peringkat antara bangsa. Kebangkitan semula Islam di seluruh negara dan kemudian merebak ke seluruh dunia adalah bermula di Malaysia, tidak di tempat-tempat lain.
d.Di situlah mula-mula tapak daulah Islamiah didirikan dan seterusnya menjadi tapak bagi pembentukan Ummah Kedua.
e.Di situlah tempat Imam Mahdi menetap sehinggalah beliau ghaib. Beliau dikatakan ghaib di Malaysia dan sentiasa berada di sekitar Malaysia untuk melihat-lihat keadaan seluruh negara, di samping di tempat-tempat lain di Indonesia dan Singapura.
f.Golongan Asoib paling ramai datang dari Malaysia. Golongan Asoib adalah generasi yang sama taraf dengan golongan Sahabat RA, bezanya Asoib adalah untuk akhir zaman dan Sahabat RA untuk zaman awal Islam. Dan di Malaysialah golongan ini paling ramai muncul.
g.Di situlah pusat pemerintahan Imam Mahdi didirikan. Di Malaysia ada pusat pentadbiran yang akan menjadi pusat pemerintahan seluruh dunia bagi Imam Mahdi. Di pusat pentadbiran itulah Imam Mahdi akan mentadbir seluruh dunia, dalam suasana pemerintahan Islam sebenar.
Dan seperti yang dijanjikan oleh baginda SAW sendiri, kemunculan Pemuda Bani Tamim adalah menandakan akan segera pula munculnya Imam Mahdi. Ertinya, Imam Mahdi tidak akan muncul sendirian, melainkan telah didahului oleh kemunculan orang kanannya yang setia itu.

No comments:

Post a Comment