Saturday, January 8, 2011

Sifat-sifat Peribadi Syaidina Imam AlMahdi(A.S.)

Logo Pictures, Images and Photos

Sifat-sifat Peribadi Syaidina Imam AlMahdi(A.S.)

Beliau adalah seorang yang badannya tegap, besar tinggi macam badan orang-orang Israel
(menurut pandangan orang-orang Melayu) dan bertubuh sederhana (menurut pandangan orang-orang
Arab). Kulitnya putih kemerah-merahan macam kulit orang Arab, dengan sedikit cenderung kepada
kehitam-hitaman seperti kulit orang Ajam. Wajahnya tampan dan seolah-olah bersinar laksana
bintang. Kepalanya besar, begitu juga dengan bentuk mukanya yang agak memanjang. Dahinya luas
dan lebar. Hidungnya mancung seperti hidung orang-orang Arab, tidak seperti lazimnya orang-orang
Ajam. Bulu keningnya nipis dan melengkung tetapi tidak bertemu antara kedua-dua belah. Biji
matanya besar manakala di pelupuk matanya, sentiasa kelihatan bercelak.
Pada pipi kanannya ada satu tahi lalat hidup yang besar, bukan semula jadi tetapi mendatang.
Jambangnya agak nipis tetapi janggutnya panjang, tebal dan lebat. Manakala gigi serinya bersinar dan
lazimnya berjarak. Pada tengah belikatnya terdapat satu cop kenabian berwarna hitam yang ditumbuhi
rambut. Bahunya lebar dan dadanya bidang. Kedua-dua belah pahanya renggang manakala daging
pahanya agak besar. Beliau sentiasa memakai serban terutama yang berwarna putih, manakala
jubahnya dua lapis berwarna putih, dari jenis Qutwani. Jubahnya agak pendek (tidak sampai ke buku
lali) dan adalah dari jenis yang belah dada terus ke bawah.
Kedua-dua belah tapak tangannya besar dan tegap. Beliau dikatakan seorang yang sukar
bertutur kata. Apabila sukar untuk menuturkan sesuatu, beliau akan menepuk paha kirinya dengan
tangan kanan. Secara amnya, perawakannya adalah sama dengan perawakan Rasulullah SAW. Beliau
seorang yang tidak gemuk dan tidak pula kurus. Beliau seorang yang berbadan tegap dan agak tinggi,
seperti tingginya orang-orang Israel. Beliau sentiasa kelihatan sihat dan gembira.
Semasa Imam Mahdi mula-mula zahir ke dunia ini sebagai pemerintah, beliau memakai
serban yang ada satu malaikat di atasnya. Malaikat tidak dapat dilihat oleh manusia biasa (kecuali
orang-orang yang Allah izinkan untuk dapat melihatnya) tetapi dapat didengar suaranya dengan jelas
oleh mereka yang menyeru, “Inilah dia Al-Mahdi, khalifah Allah. Oleh itu, ikutilah dia dengan ikhlas dan
yakin.” Kemudian akan keluar satu tangan yang menjulur dari arah serban itu, yang mengisyaratkan
kepada orang ramai supaya berbaiat kepada Imam Mahdi.
Imam Mahdi juga memiliki baju besi Rasulullah SAW yang baginda pakai semasa pergi
berperang, yang selepas kewafatan baginda SAW, tidak pernah dipakai orang kecuali apabila Imam
Mahdi zahir. Beliau juga memiliki sebilah pedang yang bernama Zulfakar, juga milik baginda SAW.
Pedang itu pernah digunakan oleh Sayidina Ali KMW dalam beberapa peperangan. Beliau juga
memiliki sehelai bendera merah yang diperbuat daripada kain bulu yang tertulis di atasnya dengan
warna hitam perkataan, “Bermula Perjanjian Itu Bagi Allah.”
Beliau tidak pernah membangunkan orang yang sedang tidur kecuali apabila masuk waktu
sembahyang. Beliau tidak menumpahkan darah manusia melainkan dengan hak, akan memerangi
bersungguh-sungguh orang-orang Islam yang meninggalkan sunnah Nabi SAW sehingga mereka
bertaubat dan meninggalkan bidaah dan khurafat itu, juga memerangi kaum kuffar dan musyrik yang
mahu melawannya. Setiap yang berlawanan dengan sunnah akan beliau hapuskan sehingga seluruh
manusia benar-benar kembali kepada akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah.
Beliau juga akan menjadi raja yang sangat besar seperti yang pernah dinikmati oleh Nabi
Sulaiman AS dan Iskandar Zulkarnain. Malah dikatakan pemerintahannya kali ini lebih besar dan
bererti berbanding kedua-dua mereka yang terdahulu itu. Beliau juga akan menghapuskan babi dan
kera, di samping menghancurkan salib-salib dan rumah-rumah berhala. Maksudnya setelah semua
orang memeluk Islam, mereka sudah tidak memerlukan lagi rumah-rumah berhala itu lalu mereka
sendiri yang meruntuhkannya. Cuma dikaitkan dengan Imam Mahdi kerana beliau yang sedang
memerintah seluruh manusia pada ketika itu.
Melalui kedua-dua belah tangannya, Allah menurunkan keberkatan yang melimpah ruah,
yang tidak pernah terbayangkan oleh sekalian manusia, sama ada yang hidup pada masa itu atau
sebelumnya, sehingga harta benda jadi melimpah ruah dan rezeki sangat murah. Penyakit-penyakit
jadi hapus dan binatang-binatang bisa hilang bisanya, boleh dimain oleh kanak-kanak tanpa takut
disengat atau digigit. Pemerintahannya sangatlah adil dan amat diredai oleh sekalian manusia, haiwan
dan malaikat.
Imam Mahdi memang seorang yang sangat gagah perkasa sehingga sekalian manusia amat
mengharapkan pertolongan, perlindungan dan keamanan daripada beliau. Allah SWT turut
mengurniakannya seramai tiga ribu malaikat yang sentiasa patuh dan taat segala perintah beliau.
Malaikat-malaikat ini akan memukul setiap orang yang menentang Imam Mahdi. Selain itu, Jibril dan
Mikail AS akan turut sama membantu beliau semasa sedang berperang dengan pihak musuh.
Imam Mahdi juga diberikan kelebihan menghapuskan segala macam bentuk fitnah,
memusnahkan segala macam bentuk judi, zina, arak, maksiat dan dosa. Beliau juga akan melenyapkan
segala bentuk riba dan harta haram. Pemerintah-pemerintah yang kafir semuanya akan tunduk
kepada pemerintahan beliau, dengan kebanyakan negara yang sebelumnya kafir akan terus memeluk
Islam, tanpa melalui peperangan. Tidak ada lagi parti-parti politik atau orang-orang yang cuba
menjadi ahli politik seperti yang sedang berlaku pada hari ini. Tidak ada orang yang dinamakan
sebagai pihak pembangkang kerana semuanya itu adalah warisan daripada sistem Barat yang telah
amat lapuk.
Keamanan akan benar-benar terjadi pada masa pemerintahannya sehingga kaum wanita
dapat mengerjakan haji dengan beberapa orang sahaja tanpa berasa takut langsung sepanjang
perjalanan pergi, semasa di Makkah dan dalam perjalanan pulangnya. Keamanan benar-benar wujud
di dalam hati, perasaan, fikiran dan lahiriah seluruh manusia, terutamanya yang beragama Islam. Umat
Islam rata-ratanya akan menjadi orang-orang yang saleh dan warak, tidak ada lagi orang-orang yang
derhaka kepada Tuhan. Tidak ada juga orang-orang yang berselisih faham,apatah lagi bergaduh,
walaupun hanya dua orang sahaja. Para wali dapat ditemui di tengah-tengah umat manusia, seperti
yang pernah berlaku pada zaman sahabat dahulu dan dapat pula diambil butir-butir hikmat daripada
keberadaan mereka itu.
Tanam-tanaman dan haiwan ternakan menjadi amat berkat dan melimpah ruah. Tanah-tanah
pertanian tidak perlu dibaja atau dijaga dengan susah payah lagi kerana tanah-tanahnya sudah amat
subur melalui curahan air hujan dan haiwan-haiwan perosak tanaman sudah tidak ada lagi. Secupak
benih yang ditanam mampu membuahkan sehingga tujuh ratus cupak apabila dituai. Buah-buahan
amat lebat dan keluar sepanjang masa, tidak lagi mengira musim. Pada masa itu, bumi ini akan
menjadi seolah-olah syurga yang disegerakan bagi para penduduknya.

Star Wars Darth Vader Lightsaber Duel Smiley Smilie Emoticon Animation Animated Animations Gif

No comments:

Post a Comment