Monday, September 21, 2009

Kulitnya Sawo Matang


A. Kata sahabat RA,

“Kulit al-Mahdi berwarna coklat (sawo matang).”

Daripada ucapan sahabat RA di atas, dapatlah diambil erti bahawa Imam Mahdi itu kulitnya berwarna, bukan putih cerah seperti kebiasaan warna kulit orang Arab. Disebutkan warna kulitnya di dalam bahasa Arab sebagai coklat, bukannya putih atau cerah. Jelasnya, warna ‘coklat’ yang dimaksudkan itu adalah sawo matang. Dan jika kita cantumkan semua keterangan yang ada mengenai Imam Mahdi ini, jelaslah, bahawa Timur yang dimaksudkan itu tidak lain dan tidak bukan adalah kawasan Nusantara ini. Mustahillah orang Jepun dikatakan kulitnya coklat atau sawo matang. Begitu juga orang Cina, jarang sangatlah didapati yang kulitnya coklat seperti yang diisyaratkan oleh asar.

Orang Siam juga tidak ada yang benar-benar coklat kulitnya secara umum. Malah mungkin ramai orang Siam yang akan tersinggung jika dikatakan mereka itu berkulit coklat. Orang-orang di India juga tidak dikatakan coklat kerana mereka secara lazimnya, berkulit lebih daripada coklat. Hal ini memang pun sudah diketahui di seluruh dunia. Orang Pakistan juga tidak dapat diistilahkan coklat kerana mereka lazimnya berkulit kemerah-merahan. Tidak pernah lagi kedengaran ada orang mengatakan bahawa orang Pakistan itu kulitnya coklat. Tidak tahulah pula pada zaman akan datang, ada orang yang menganggap orang Pakistan itu berkulit coklat juga.

Jadi, kesimpulan yang dapat diambil daripada asar di atas ialah, memang Imam Mahdi itu, tidak syak lagi, adalah dari kalangan bangsa Melayu ini, tidak kiralah sama ada asalnya dari mana-mana Kepulauan di Indonesia, Singapura, Selatan Filipina, Malaysia, mahupun Selatan Siam. Semua yang Islam yang tinggal di kawasan berkenaan lazimnya adalah dipanggil orang Melayu, dan kulitnya lazim dikatakan sebagai coklat. Mereka tidak marah jika dipanggil demikian, malah mereka sendiri yang menyebut bahawa kulit mereka adalah coklat.

Dan tidak syak juga, bahawa bangsa Ajam yang dimaksudkan itu sebenarnya adalah bangsa Melayu ini. Ini dikeranakan mereka adalah bangsa terakhir yang menerima Islam sebagai agama mereka secara beramai-ramai dan selepas kawasan ini, tidak ada lagi bangsa lain yang menerima Islam secara terbuka dan beramai-ramai. Dan, bangsa Timur yang dimaksudkan oleh hadis-hadis, yang di dalamnya ada segolongan umat Islam istimewa yang dipanggil IKHWAN itu adalah dari bangsa Melayu ini, sudah amat jelas, tidak lain dan tidak bukan. Tidak perlu lagi kepada huraian yang lebih lanjut dan terperinci untuk menjelaskannya.

Sebab lain yang membantu menguatkan hujah ialah faktor agama. Maksudnya penerimaan agama Islam di kalangan masyarakat umum dan penghayatan kepada Islam yang sangat intensif. Pada masa ini, hanya orang-orang di rantau ini yang benar-benar menerima Islam sebagai agama mereka secara besar-besaran dan beramai-ramai. Tidak ada tempat lain yang berbuat demikian seperti orang Melayu ini. Mereka lakukannya secara sukarela, tiada paksaan, tiada sentimen melulu seperti semangat yang berapi-api dan tidak juga melalui penguatkuasaan undang-undang.

Masyarakat Melayu juga adalah kaum yang pada hari ini dilihat paling menonjol penghayatan kepada Islam sebenar. Bangsa-bangsa lain tidak ada yang dilihat penghayatan Islamnya lebih tepat, lebih bersungguh-sungguh, berdasarkan kemahuan sendiri, tidak melampau (radikal dan menakutkan) dan penuh hikmah. Keadaan ini berlaku bukanlah dengan disengajakan, tetapi sebenarnya memang telah disusun sedemikian rapi oleh Allah SWT sendiri iaitu secara semula jadi. Hanya sekaranglah perkara ini baru disedari oleh bangsa Melayu itu sendiri, terutamanya dari kalangan yang kuat mengamalkan ajaran tarekat dan dakwah.

Secara tidak langsung juga asar sahabat RA ini menjelaskan bahawa Imam Mahdi itu bukan lagi berketurunan Arab seratus peratus, sebab orang Arab jati jarang yang kulitnya sawo matang. Percampuran antara darah Arab dan Ajam (di sini maksudnya Melayu) menyebabkan kulit Imam Mahdi itu tidak lagi seperti kulit bangsa Arab jati, tetapi sudah berwarna seperti warna kulit bangsa Ajamnya itu. Jika kulit Imam Mahdi itu seperti kulit Arab jati, tidak perlulah lagi disebutkan oleh para sahabat RA warna kulitnya itu, kerana memang orang Arab itu kulitnya putih dan kemerah-merahan seperti yang lazim. Bagi bangsa Arab pula, berbezanya warna kulit Imam Mahdi daripada warna kulit mereka menjelaskan bahawa Imam Mahdi itu bukan lagi milik penuh bangsa Arab, suku Quraisy, Bani Hasyim, Alawiyin atau Ahlulbait. Dan mereka pula bukanlah lagi bangsa pendokong agama suci ini pada masa ini.

Maksud lain yang dapat diberikan di sini adalah sebagai suatu penghormatan kepada bangsa Ajam yang menjadi tempat kelahiran Imam Mahdi itu. Dikatakan Imam Mahdi itu berkulit coklat, sebagai tanda bahawa umum masyarakat setempatnya berkulit demikian, walaupun mungkin Imam Mahdi itu sendiri tidaklah begitu coklat kulitnya seperti mereka. Apabila bergaul dengan masyarakat setempat, maka kulitnya pun dikatakan kelihatan macam cokla pada masa init juga. Ini sebenarnya adalah suatu penghormatan yang amat besar dan sangat bernilai bagi bangsa Melayu zaman ini, kerana Imam Mahdi itu lahir dari kalangan mereka.

Untuk mendapatkan keterangan yang lebih lanjut mengenai masalah kulit Imam Mahdi ini, lihatlah hadis yang berikut dalam tajuk seterusnya. Semoga dengan ini, kefahaman kita yang selama ini mungkin kurang jelas atau tidak jelas, dapat dijelaskan dengan sejelas-jelasnya. Kita juga tidak digalakkan berfikir terburu-buru sehingga tidak sempat membuat keputusan dengan adil dan tepat. Fikirkan dari segenap aspek dan keadaan supaya ilmu kita benar-benar membawa manfaat kepada kita.

No comments:

Post a Comment