A. Ibnu Sirin RH, seorang tabiin yang terkenal, menerangkan bahawa,
“Al-Mahdi adalah lebih afdhal daripada ayah dan bapa saudaraku.”
Ucapan oleh tokoh tabiin ini tidaklah melampau atau melebihi daripada apa yang sepatutnya diucapkannya. Memang benar, Imam Mahdi adalah lebih afdhal daripada sebahagian besar sahabat Nabi SAW kerana sudah jelas bahawa Imam Mahdi itu bertaraf Khalifah, maka jelaslah baginda lebih afdhal daripada sebahagian besar sahabat RA.
Ini bolehlah diakui dengan melihat beberapa perkara yang patut kita jadikan perbandingan, sebagai menyokong ucapan oleh tokoh tabiin itu:
1.Para sahabat RA diredhai oleh Allah secara umum, melalui dua peristiwa besar iaitu Perang Badar Kubra dan Baiatur Ridhwan, Perjanjian Hudaibiyah. Imam Mahdi disebutkan dalam beberapa hadis secara khusus sebagai orang yang diredhai dan pemerintahannya juga diredhai. Maka antara yang khusus dengan yang umum, yang khusus adalah lebih utama.
2.Pemerintahannya bertaraf Khalifah, dan merupakan salah seorang Khalifah Allah dan Khalifah Rasulullah SAW, yang sama tarafnya dengan Khulafa ur-Rasyidin. Tentulah baginda lebih afdhal daripada kebanyakan sahabat RA, yang tidak bertaraf khalifah.
3.Beberapa orang sahabat RA adalah orang yang dijamin masuk syurga oleh Nabi SAW. Antaranya ialah sahabat yang sepuluh, diikuti yang empat puluh. Imam Mahdi juga sudah dijamin oleh Nabi SAW akan masuk syurga, malah merupakan salah seorang pemimpin di syurga. Tentulah kedudukannya ini lebih afdhal daripada sebahagian sahabat RA yang lain, yang hanya dijamin masuk syurga tetapi tidak menjadi pemimpin di syurga.
4.Imam Mahdi adalah sama taraf dengan Khalifah yang berempat. Mereka yang berempat itu adalah lebih utama daripada para sahabat RA yang lain. Maka Imam Mahdi juga tentulah lebih afdhal juga daripada sahabat RA, seperti yang diakui itu kerana beliau bertaraf khalifah juga.
5.Pemerintahan Khalifah yang berempat sudah pun disebutkan oleh Nabi SAW, secara tersirat dan tersurat. Maknanya mereka adalah sebaik-baik sahabat daripada sekalian sahabat RA yang ada. Imam Mahdi juga ditunjukkan sebagai Khalifah, kali ini secara yang amat tersurat, iaitu jelas dan terang. Maka tentulah kedudukannya lebih afdhal daripada sebilangan besar sahabat RA yang lain. Para sahabat RA juga mengaku akan kelebihan Imam Mahdi ini berbanding diri mereka sendiri, kerana Imam Mahdi itu apabila zahir kelak, dan jika para sahabat RA masih hidup lagi (jika ada), tentulah para sahabat RA itu mahu tidak mahu, akan menjadi rakyat dan makmum kepada Imam Mahdi. Sedangkan Nabi Isa AS yang sudah bertaraf rasul yang Ulul Azmi itu pun menjadi makmum kepada Imam Mahdi, inikan pula para sahabat RA yang kedudukan mereka adalah lebih rendah daripada Nabi Isa AS. Penunjukan dan pelantikannya sebagai khalifah sudah diisytiharkan oleh Rasulullah SAW sendiri.
6.Afdhal yang dimaksudkan di sini bukanlah keutamaan sebagai sahabat yang dapat bergaul dan berkumpul dengan Nabi SAW. Dari segi itu, memang sahabat RA adalah paling utama. Afdhal yang dimaksudkan oleh Imam Ibnu Sirin ini adalah dari segi keutamaan sebagai seorang pemimpin, keutamaan dari segi zamannya, pemerintahannya dan juga sebagai salah seorang ahli syurga. Itu sahaja. Keutamaan adalah berbeza daripada afdhal. Sila perhatikan perbezaannya baik-baik.
7.Malah di kalangan Ahlulbait yang ada pun, memang Imam Mahdi adalah lebih utama daripada sekalian yang lain, kecuali yang disebutkan di dalam hadis ini. Mereka yang berenam itu lebih utama daripada Imam Mahdi, jika dilihat dari segi apa pun, kecuali dalam bab pemerintahan dan kemasyhuran.
No comments:
Post a Comment