Monday, August 31, 2009

Imam Mahdi Adalah Imam Yang Sempurna


A. Kata Sayidina Ali KMW, Nabi SAW bersabda,

“Al-Mahdi yang dinanti-nantikan itu adalah dari kaum keluargaku. Allah akan menyempurnakannya dalam satu malam sahaja.” (Ibnu Majah)

Hadis ini diterima oleh semua pihak tetapi dengan tafsiran yang agak selari, dan tepat menurut matan yang tersurat. Tidak lebih dan tidak kurang. Hal ini benar dari satu segi tetapi jika dinilai dari segi logik akal dan keadaan yang sebenar, keadaannya tidaklah demikian. Bukanlah maknanya penulis mahu melawan sabda Nabi SAW itu dengan cuba menyebutkan sesuatu yang berlawanan daripada maksud yang sedia difahami. Bukan juga bermaksud penulis melebihkan akal dalam soal ini sehingga kelihatan mengetepikan begitu sahaja matan hadis yang mulia ini.

Antara yang lazim dimaksudkan oleh kita berdasarkan hadis ini ialah beliau akan dilengkapkan segala-galanya sebagai Imam Mahdi hanya dalam masa satu malam, dan pada pagi besoknya beliau akan dilantik sebagai Imam Mahdi oleh orang ramai. Maknanya, sebelum itu, beliau hanyalah seorang awam yang tidak dikenali oleh orang ramai, atau jika dikenali pun, hanyalah sebagai orang biasa sahaja. Makna yang sebeginilah yang sebenarnya perlu diperbetulkan supaya tidak berlarutan lagi membelenggu pemahaman kita.

Maksud satu malam sahaja dalam hadis ini ialah melengkapkan segala hal yang berkaitan dengan persediaan rohani sebagai seorang yang paling bertakwa kepada Allah, bukan sebagai seorang pemimpin. Yang paling penting bagi seseorang itu ialah iman yang cukup tinggi dan mantap. Hal ini tidak boleh berlaku dalam satu malam sahaja, iaitu bagi seorang yang bakal menjadi pemimpin terbesar umat ini. Jika hal seperti ini dikaitkan dengan seorang wali Allah yang bertaraf biasa, atau berwatak nabi, bukan berwatak rasul, maka hal ini dibolehkan sahaja.

Tetapi ini tida boleh berlaku kepada Imam Mahdi kerana beliau adalah seorang pemimpin yang amat dikasihi oleh sekalian umat Islam, beliau amat adil dan membawa keberkatan yang tidak terhinggakan. Maka proses mendidiknya menjadi seorang Imam yang sempurna perlu bermula sejak awal lagi, seawal beliau masih kecil dan belum mengerti apa-apa. Walaupun disebutkan hanya satu malam sahaja, yang dikehendaki dengan maksud itu ialah proses menjadikannya sebagai ketua bagi sekalian wali yang paling bertakwa. Ini dikeranakan semua wali adalah orang yang telah mencapai taraf takwa yang sebenar. Maknanya, Imam Mahdi adalah orang yang paling bertakwa di antara sekalian wali yang amat bertakwa. Pada tahap ini, menjadikannya sebagai Imam yang sempurna belum bermula lagi.

Makna lain bagi perkataan Imam yang sempurna ialah Imam Mahdi itu adalah seorang Imam yang bersih, tidak mempunyai sebarang dosa sejak kecil lagi hinggalah ke saat beliau dilantik ke jawatan Imam Mahdi itu. Imam Mahdi sangat adil dalam pemerintahannya dan keadilan pemerintahannya itu dikatakan sebagai amat sempurna kerana seorang pemerintah yang tidak adil, dikatakan sebagai imam yang tidak sempurna. Imam Mahdi juga adalah seorang imam yang terakhir bagi umat ini dari kalangan umat ini, dan dengan berakhirnya pemerintahan beliau, maka sempurnalah agama Islam ini bagi umat ini dan dengan itu, Imam Mahdi dikatakan sebagai penyempurna bagi segala Imam. Jika ada pemerintah selepasnya pun, tidaklah lagi seperti beliau, biarpun hampir sama. Kerana itu, disebutlah Imam Mahdi itu sebagai Imam yang sempurna.

Maksud lain bagi ayat satu malam sahaja dalam hadis itu adalah menurut ukuran malam bagi alam wali-wali. Ini dikeranakan alam wali-wali itu mempunyai ukuran masanya yang tersendiri. Siang dan malam di alam wali-wali ini adalah jauh lebih panjang daripada siang dan malam bagi alam kita yang kita alami ini. Alam wali-wali mempunyai cuacanya sendiri, pentadbirannya sendiri, tanam-tanamannya sendiri, wilayahnya sendiri. Alamnya memang ada di atas dunia ini tetapi tidak terpengaruh oleh suasana dan segala yang berlaku di dunia kita ini. Alam mereka ini adalah alam yang asing bagi kita orang ramai, suatu alam yang hanya dapat dicapai oleh orang-orang yang telah suci hatinya, suci pemikirannya, suci niatnya, suci ikhlasnya, suci akidahnya dan sangat-sangat hampir hatinya dengan Allah SWT pada setiap masa dan ketika.

Perlu diketahui pula bahawa tidak semua wali dapat memasuki alam wali ini. Ada wali yang tidak pernah tahu dan tidak pernah pula memasuki alam wali ini. Hanya wali-wali yang tertentu sahaja yang dibolehkan berada di sana dan berapa lama mereka dibenarkan berada di sana. Secara kebiasaannya, sehari di alam wali-wali bersamaan dengan seminggu di alam kita ini. Cara mencapainya juga berbeza-beza. Ada wali yang terpaksa berjalan jauh sebelum sampai ke alam ini dan ada pula wali yang dengan mudah dapat memasuki alam ini iaitu dengan hanya berjalan selangkah sahaja. Ada yang dibenarkan memasukinya sekali seumur hidup, ada pula yang dibenarkan berada di sana banyak kali dan ada pula yang duduk diam di sana dalam tempoh yang sangat lama, iaitu selama mana dibenar dan dikehendaki oleh Allah SWT.

Sehubungan itu, Imam Mahdi tidaklah disempurnakan dalam masa semalam menurut ukuran malam kita yang biasa kita fahami ini, melainkan semalam menurut ukuran alam wali-wali, iaitu kira-kira seminggu. Seminggu menurut ukuran kita ini juga tidaklah sama kerana semalaman bagi alam wali ini mampu dihidupkan seolah-olah kita beribadat selama setahun penuh, atau bekerja setahun penuh. Begitulah secara ringkas sahaja disebutkan di sini apa yang patut diketahui oleh kita dengan maksud satu malam sahaja itu.

No comments:

Post a Comment